Waktu tidak mungkin boleh diputar semula.
Sebab itu Imam al-Ghazali mengatakan, perkara yang paling jauh dari kita adalah masa lalu. Kerana biar paling dekat hingga sesaat yang lepas pun, kita tidak mungkin dapat mengulanginya kembali. Apa yang boleh kita buat adalah melihat ke hadapan sambil mengambil sedikit cebisan masa lalu itu sebagai panduan untuk terus melangkah.
Terkadang kita terimbau masa lalu yang begitu manis dengan sahabat-sahabat kita. Senyum tawa bersama mereka, setiap detik yang kita lalui bersama mereka, begitu mengusik perasaan kita tatkala kita bersendirian. Tetapi dalam persahabatan juga ada pahitnya, bila sahabat-sahabat kita sudah tidak sehaluan dengan kita, mungkin ada sesuatu yang berlaku sepanjang laluan itu, menjadikan mereka menjauh dari kita.
Setiap perkara yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Allah telah menyusun segalanya dengan begitu indah untuk kita dan sahabat-sahabat kita. Kita ditakdirkan untuk bertemu, berkenal-kenalan dan berkongsi segala suka-duka dengan mereka [49:13]. Allah juga mentakdirkan sesuatu berlaku hingga hubungan persahabatan yang terjalin itu diuji dengan sebegitu hebat olehNya, yang kadang-kadang begitu meruntunkan jiwa kita.
Allah tidak membebankan seseorang hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu dia hadapi[2:286]. Allah Maha Mengetahui bahawa kita mampu menghadapi ujian yang diberikan olehNya kepada kita. Ujian yang diberikan itu kadang-kadang mau menguji kebijaksanaan kita dalam bersahabat. Antara mereka yang begitu disukai oleh Allah adalah yang saling memaafkan apabila berlakunya persengketaan dalam persahabatan. Yang sentiasa memelihara hubungan silaturrahim dan menjaga ukhuwah. Siapa antara kita yang tidak mau disukai oleh Allah?
Apabila kita rasa begitu kecewa dengan sahabat, rasa diri kita begitu tinggi hingga tidak mau menghulurkan atau meminta kemaafan, ingatlah ada yang lebih tinggi daripada kita. Kita ini hanya hamba yang sangat kerdil dalam pandangan Allah, dan kita akan dipandang tinggi oleh Allah bila kita meletakkan diri kita serendah-rendahnya di hadapan sahabat untuk memulakan kata maaf.
Maukah kita menyimpan lafaz itu sehingga kita tidak punya peluang lagi untuk meluahkannya? Kerana kita tidak tahu bila masanya kita dan sahabat kita akan kembali kepada Pemilik Hati...
....susiesusilowati....adybudika....
Tidak ada komentar:
Posting Komentar